0

KAJANG: Helah seorang lelaki yang pura-pura tidur selepas cuba mencabul seorang pelajar perempuan di dalam bas ekspres gagal apabila dihalau keluar selepas mangsa memaklumkan perbuatan kejinya kepada pemandu bas berkenaan, 11 November lalu.
Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa berusia 19 tahun menaiki bas yang dalam perjalanan dari Melaka ke ibu kota dan pada mulanya curiga apabila mendapati tangan penumpang yang duduk di sebelahnya diletakkan berhampiran pinggangnya.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, pada mulanya mangsa menyangka lelaki itu ingin mengambil beg yang diletakkan di sebelahnya tanpa mempedulikan tindakan suspek.
Katanya, sangkaan mangsa meleset apabila suspek tiba-tiba memegang bahu mangsa beberapa minit.
“Suspek yang beranggapan mangsa tidak menyedari perbuatan itu kemudian semakin berani apabila meramas payu dara mangsa menyebabkan mangsa tersentak dengan perbuatan suspek.
“Mangsa yang bengang diperlakukan sedemikian kemudian menoleh mukanya untuk memandang suspek tetapi sebaik ditoleh, suspek berpura-pura tidur,” katanya.
Ab Rashid berkata, mangsa yang tidak berpuas hati kemudian mempersoalkan tindakan suspek yang cuba mencabul kehormatannya.
Bagaimanapun, suspek yang bijak berlakon kemudian pura-pura tersedar dari tidurnya selepas mangsa memanggilnya beberapa kali tetapi menafikan memegang payu dara mangsa
“Mangsa yang tidak berpuas hati dengan lakonan dan alasan diberikan segera mendapatkan pemandu bas untuk melaporkan kejadian itu.
“Terkejut dengan aduan mangsa, pemandu bas berkenaan memberhentikan basnya di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Serdang dan mengarahkan suspek keluar dari bas berkenaan,” katanya.
Sebelum suspek beredar, pemandu berkenaan sempat mengambil butiran peribadi suspek untuk diberikan kepada pihak berkuasa. Beliau berkata, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut. Suspek sudah dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

MENARIK UNTUK DILIHAT

ExtraClassifieds.com - Free Classifieds USA - Buy & Sell, post Your free classified ad Now

Post a Comment Blogger

 
Top